Bangladesh kecoh berita palsu jambatan minta korban - Utusan Malaysia

Bangladesh kecoh berita palsu jambatan minta korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA – Pembinaan Jambatan Padma bermula pada 7 Disember 2014 dan tahun ini, 81 peratus daripada keseluruhan struktur tersebut telah siap.

Apabila siap sepenuhnya kelak, Jambatan Padma akan menjadi jambatan terbesar di Bangladesh.

Bagaimanapun, portal berita Reddit melaporkan bahawa mercu tanda itu terpalit teori konspirasi yang mendakwa bahawa kononnya 100,000 kepala kanak-kanak perlu dikorbankan untuk menyiapkan pembinaannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehingga kini, seramai lapan lelaki telah ditangkap kerana menyebarkan berita palsu itu di media sosial termasuk Facebook.

Pihak berkuasa Bangladesh mendakwa mereka di bawah Akta Keselamatan Digital dan berkata, kumpulan itu bersalah kerana menyebarkan propaganda yang membawa impak serius kepada masyarakat.

Skandal itu berpunca daripada keganasan yang tercetus akibat pembunuhan yang disyaki dilakukan oleh seorang penagih dadah pada 18 Julai lalu.

Suspek dipukul sehingga mati oleh penduduk tempatan selepas dia dilihat berkeliaran sambil membawa kepala seorang budak lelaki yang dipancung di bandar Netrokona, dekat Dhaka.

Perasaan panik dalam kalangan penduduk merebak selepas itu. Dua hari kemudian, seorang wanita bernama Taslima Begum dibelasah sehingga mati oleh orang awam yang mengesyaki dia mahu menceroboh sebuah sekolah kerana mahu menculik kanak-kanak untuk dijadikan korban bagi menyiapkan pembinaan jambatan itu.

Siasatan bagaimanapun mendapati mangsa hanya mahu mendaftarkan anak perempuannya ke sekolah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Bangladesh, Mohammad Javed Patwary berkata, polis mengesahkan kematian lapan orang setakat ini akibat dipukul perusuh.

“Kami menyiasat setiap kes dan mendapati semua yang terbunuh bukan penculik kanak-kanak seperti yang didakwa orang awam,” kata Mohammad Javed.

Menurutnya, sebanyak 30 serangan lain turut dikaitkan dengan teori konspirasi itu.

Tambah Mohammad Javed, polis telah membuat sebanyak 103 tangkapan berkaitan jenayah tersebut setakat ini.

Selain itu, sebilangan akaun Facebook dan 25 saluran YouTube juga telah ditutup kerana menyokong teori konspirasi korban manusia itu. 
– Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini