KUALA LUMPUR 4 Ogos – Seorang pemuda maut apabila motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum terlanggar batu pembahagi jalan di Kilometer 13.6 Lebuh Raya Damansara-Puchong di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, mangsa, Muhammad Azli Aizad Azmi, 23, yang menunggang motosikal jenis KTM RC390 itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Akibat pelanggaran tersebut mangsa didapati mengalami kecederaan serius di kepala dan maut di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azman memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian dapat menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Azirul Ikmal Mohd. Nordin di talian 013-4284263,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











