KOTA BHARU 4 Ogos – Polis sudah mengambil keterangan membabitkan tujuh saksi bagi membantu siasatan kes tetak Timbalan Pengerusi Veteran UMNO Kelantan, Datuk Kamarudin Abdullah di hadapan sebuah kedai kopi di Jalan Tengku Chik di sini minggu lalu.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, tujuh saksi itu ialah mangsa dan keluarganya serta orang awam yang berada di lokasi kejadian.
“Hasil keterangan ini dapat membantu pihak polis menjalankan siasatan terperinci daripada pelbagai sudut.
“Malah dua suspek yang mencederakan Kamarudin juga gagal dicam kerana tidak ada saksi dapat melakukan pengecaman,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini hari ini.
Beliau berkata, poolis sudah meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan dan masih menjejaki kedua-dua suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Akhbar sebelum ini melaporkan Kamarudin cedera parah ditetak dalam sebuah kedai kopi di Jalan Tengku Chik di sini kira-kira pukul 7.30 malam 28 Julai lalu.
Beliau yang memakai jubah berwarna putih berlumuran darah akibat kecederaan serius di kepala dan di bahagian tepi serta belakang badan.
Mangsa kemudiannya dibantu oleh seorang guru al-Quran untuk dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapat rawatan lanjut. – UTUSAN ONLINE











