KOTA KINABALU 4 Ogos – Sebanyak 98 individu ditahan dalam ‘Op Ice Breaker’ yang dijalankan bermula 27 Julai hingga semalam di sekitar daerah Kota Kinabalu.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mereka yang ditahan itu terlibat dalam pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah termasuk di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas.
Menurutnya, daripada jumlah yang ditahan itu, 75 adalah warga tempatan manakala selebihnya warga asing berumur antara 14 hingga 56 tahun.
“Sebanyak 23 serbuan dibuat sepanjang tempoh itu dan polis berjaya merampas 74.50 gram syabu dianggarkan bernilai RM11,175,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Habibi memberitahu, orang awam amat dialu-alukan menyalurkan sebarang maklumat ke hotline Ibu pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di talian 088-529220. – BERNAMA











