KUALA LUMPUR – Skuad wusyu negara membariskan sembilan atlet terbaik bagi menggalas cabaran dalam Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.
Ini merupakan penyertaan terkecil skuad negara dalam acara wusyu pada temasya dwitahunan itu selepas menampilkan 20 atlet pada edisi lalu di Kuala Lumpur pada 2017.
Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt berkata, mereka yang tersenarai terdiri daripada lapan atlet lelaki dan seorang atlet wanita masing-masing dalam disiplin Sanda dan Taolu.
Walaupun sukar untuk menetapkan sasaran pingat memandangkan empat juara dunia negara tidak disenaraikan, skuad negara tetap akan cuba menghadiahkan pingat buat kontinjen negara, katanya di sini hari ini.
Mereka yang tersenarai adalah Teh Chee Chong, Lee Wei Loong, Kelvin Teng Kai Wen dan Chong Jian Hwa dalam disiplin Sanda, sementara juara dunia 2016, Wong Weng Son, Yeap Wai Kin, Loh Choon How, Calvin Lee Wai Leong dan Sydney Chin Sy Xuan (wanita) dalam disiplin Taolu.
Menurut Kim Fatt, skuad negara ketika ini mendapat sentuhan bekas juara dunia, Mao Ya Qi bagi memantapkan persiapan dari segi teknikal sebelum menyertai saingan pada Kejohanan Dunia 2019 di Shanghai, China dari 20 hingga 23 Oktober ini.
Untuk rekod, pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia meraih enam daripada 17 pingat emas yang ditawarkan dalam wusyu.
Sukan SEA 2019 Filipina akan berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember ini. – BERNAMA










