Pengenalan tulisan khat dalam subjek BM akan diteruskan - Utusan Malaysia

Pengenalan tulisan khat dalam subjek BM akan diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan tetap meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 seperti yang dijadualkan iaitu pada tahun depan.

KPM dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dengan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid serta guru. 

Menurutnya, perancangan pengenalan tulisan khat itu telah dilaksanakan melalui semakan semula kurikulum sejak tahun 2014. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kementerian mengambil maklum pelbagai respons terhadap isu pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun depan.

“Usaha ini juga telah melalui pelbagai sesi libat urus dengan pakar-pakar bahasa dan
pendidikan,” katanya.

Sebelum ini, seramai 138 pemimpin akar umbi DAP termasuk 13 Ahli Dewan Undangan Negeri parti itu membantah rancangan pelaksanaan seni khat dan tulisan jawi sebagai sebahagian mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4.

Ia susulan kenyataan Kementerian Pendidikan bahawa pengenalan tulisan khat adalah bagi memupuk gaya penulisan indah dan menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

Sementara itu, KPM berkata, pengenalan tulisan khat itu bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara.

“Tulisan khat merupakan warisan bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari, sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan. 

“Selain itu, tulisan ini juga terdapat pada jata negara, jata negeri-negeri dan wang kertas Ringgit Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, KPM berkata, pihaknya komited untuk bersama-sama membina negara yang memiliki persefahaman dan pengetahuan kukuh terhadap warisan kebangsaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini