KUALA LUMPUR 2 Ogos- “Pengalaman ngeri yang tidak dapat dilupakan.”
Demikian kata seorang daripada sembilan mangsa kejadian lif terhempas dari tingkat lima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi di sini hari ini.
Menurut Ahmad Shahid Imran, 24, ketika kejadian, dia sempat memegang panel butang sebelum lif tersebut terjatuh.
Katanya, lif yang sedang bergerak ke tingkat lima tiba-tiba ‘menjunam’ ke bawah dengan pintunya dalam keadaan terbuka.
“Saya ketika itu tidak dapat berfikir apa-apa dan dapat pegang panel butang lif. Ramai yang menjerit, kejadian berlaku terlalu pantas.
“Ketika itu, ada sembilan orang termasuk wanita, kanak-kanak dan lelaki orang kelainan upaya (OKU). Ada yang terseliuh dan patah kaki, satu pengalaman ngeri yang tidak dapat dilupakan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Tambah Ahmad Shahid, bagaimanapun, dia tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.- UTUSAN ONLINE










