DUNGUN – Polis mengesan perbuatan segelintir individu cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan menyamar sebagai ahli keluarga salah seorang tiga pekerja resort yang masih hilang di perairan Dungun bagi tujuan melakukan penipuan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pihak menyamar itu telah menghantar mesej menerusi aplikasi Whatsapp secara rambang kepada individu tertentu meminta derma kononnya untuk meringankan beban waris tiga mangsa berkenaan.
“Kesemua waris mangsa-mangsa menafikan berhubung dakwaan telah meminta derma terbabit. Perkara itu dalam makluman kami walaupun setakat ini tiada laporan polis berhubungnya dibuat.
“Saya minta pihak yang menerima mesej penipuan terbabit agar segera membuat laporan polis bagi membolehkan kertas siasatan berhubung kes itu dibuka pada masa terdekat,” katanya pada pemberita di sini hari ini.
Baharudin berkata, orang ramai perlu berhati-hati agar tidak terperdaya dengan modus operandi penipuan terbabit sebaliknya menggunakan saluran betul seperti Majlis Perwakilan Komuniti Kampung sekiranya mahu menyumbang kepada ahli keluarga ketiga-tiga mangsa terbabit.
Kosmo! semalam melaporkan perjalanan tiga pekerja sebuah resort iaitu Fauzi Mohamad,40; Muhammad Firdaus Mohd. Awalluddin dan Mohamad Hafiz Abd. Rahim, 22 ke Pulau Tenggol di sini tidak kesampaian apabila mereka dilaporkan hilang selepas gagal tiba di pusat peranginan itu. – K! ONLINE










