KLANG – Seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah disyaki syabu ditahan polis selepas mengamuk menggunakan sebilah pisau di hadapan sebuah rumah di Lorong Batu Nilam di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.25 pagi itu, suspek yang diberkas berusia 35 tahun berasal dari Sabah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sepasukan polis kereta peronda (MPV) dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 11.30 pagi.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki sedang mengamuk dalam keadaan marah dan cuba menyerang orang awam.
“Anggota MPV cuba menenangkan suspek dan mengarahkannya membuang pisau tersebut namun suspek enggan sebelum bertindak agresif terhadap pihak polis dan orang awam.
“Semasa cuba menahan suspek berlaku pergelutan dengan suspek mengalami luka ringan di bahagian muka, telinga, lutut, mulut dan dagu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Beliau memberitahu, hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau.
Jelas Shamsul Amar, suspek kemudiannya dibawa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan lanjut.
“Kita turut merampas pisau digunakan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Merbahaya 1958. – K! ONLINE











