JOHOR BAHRU 1 Ogos – Mesej yang tular dalam aplikasi WhatsApp sejak semalam berkaitan 70 kes tibi kahak positif di beberapa kawasan di Johor Bahru termasuk Kampung Melayu Majidee Baru dan Pandan adalah tidak benar.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz menafikan maklumat yang ditularkan dalam aplikasi tersebut dan mendakwa hanya terdapat 10 kes tibi dilaporkan di kawasan berkenaan sejak awal tahun hingga bulan lalu.

Katanya, kesemua kes tersebut telah diberikan rawatan dan dipantau status kesihatan mereka.
“Jabatan Kesihatan negeri ingin memaklumkan bahawa tiada sebarang kenyataan dikeluarkan yang menghalang pergerakan awam termasuk ke kawasan tersebut disebabkan penyakit Tibi mahupun penyakit berjangkit yang lain.
“Oleh itu, Jabatan Kesihatan negeri ingin memaklumkan bahawa mesej tular tersebut adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Selahuddeen berkata, pihaknya turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dan situasi panik dalam kalangan masyarakat.
Semalam tular menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial lain mengenai terdapat lebih 70 pembawa tibi positif di beberapa kawasan di Johor Bahru serta nasihat supaya tidak ke kawasan berkenaan bagi mengurangkan risiko jangkitan iaitu penyebaran melalui udara.
Jelasnya, penyakit tibi adalah disebabkan oleh kuman Mycobacterium Tuberculosis (kuman tibi) dan disebarkan melalui cecair mulut dan hidung pesakit tibi apabila mereka batuk, bercakap atau bersin.
Tambahnya, pesakit yang telah disahkan penyakit Tibi perlu mendapatkan rawatan segera dan pengambilan ubat rawatan Tibi hendaklah sehingga lengkap mengikut saranan doktor yang merawat.
“Pesakit tibi perlu dirawat segera bagi memastikan ianya tidak menular kepada orang lain.
“Penyakit tibi merupakan salah satu penyakit berjangkit yang wajib dilaporkan kepada pihak kesihatan dan Jabatan Kesihatan sentiasa melakukan pemantauan kejadian penyakit tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE











