KUALA LUMPUR – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) optimis barisan pesilat negara mampu melepasi sasaran awal dua pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November nanti.
Naib Presiden III Pesaka, Zaihan Mohd Isa berkata, badan induk itu berterima kasih kepada Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA yang bersetuju dengan keputusan Pesaka untuk menyenaraikan sembilan pesilat dalam kategori A, manakala tiga lagi dalam kategori B.
Penyertaan dalam kategori A menyaksikan atlet atau pasukan akan mendapat tajaan penuh, manakala bagi atlet kategori B, perbelanjaan ditanggung persatuan masing-masing. Bagaimanapun, perbelanjaan itu akan dibayar semula, sekiranya atlet berkenaan berjaya meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.
“Saya merasakan keputusan ini berdasarkan pencapaian pesilat kita pada Kejuaraan Silat Dunia di Singapura, selain Terbuka Belgium pada awal tahun ini.
“Sasaran kita masih dua emas kerana tidak mahu mengganggu prestasi pesilat kita apabila bertanding pada Sukan SEA nanti,” jelas Zaihan ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Wisma OCM, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Zaihan yang merupakan pengerusi jawatankuasa pemilihan dan persediaan atlet Pesaka memaklumkan, badan induk itu telah mengatur pelbagai program latihan dan kejohanan untuk pesilat negara sebelum menghadapi Sukan SEA 2019.
Antaranya adalah latihan ‘sparring’ dengan skuad silat Thailand B pada pertengahan Ogos, Kejuaraan Silat Terbuka Malaysia pada September, sebelum berlepas ke Subic, Filipina untuk latihan penyesuaian pada Oktober ini.
“Kita (pada masa sama) turut mengharapkan wasit (juri) pertandingan yang akan mengadili acara silat pada Sukan SEA nanti, betul-betul bersikap adil,” kata Zaihan.
Peluang Malaysia untuk mengulangi pencapaian 10 emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tidak kesampaian setelah Filipina dilaporkan hanya mempertandingkan sembilan acara sahaja yang melibatkan berat badan yang lebih ringan pada Sukan SEA 2019.- BERNAMA











