PETALING JAYA – Skuad boling lelaki Selangor mempamerkan aksi memberangsangkan untuk meraih pingat emas acara berpasukan lelaki pada Kejohanan Boling Antara Negeri ke-32 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, hari ini.
Dibarisi Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Mohd Azizi Naim, Alex Liew dan Ahmad Muaz Fisol, Selangor cemerlang untuk memastikan mereka berada di kedudukan teratas sebagai pendahulu dengan mencatat 5,007 jatuhan pin.
Kuala Lumpur pula meraih perak apabila dibezakan dengan 42 jatuhan pin selepas mencatat keseluruhan 4,965 jatuhan pin manakala pingat gangsa menjadi milik Pulau Pinang dengan 4,945 jatuhan pin.
Kemenangan tersebut merupakan satu-satunya pingat emas buat pasukan Selangor pada edisi kali ini.
“Kita tidak jangka akan menang pingat emas terutamanya menewaskan Kuala Lumpur. Ini satu keputusan yang tidak dijangka namun sangat membanggakan. Lebih-lebih lagi kemenangan ini juga merupakan satu-satunya pingat emas buat negeri Selangor.
“Masa blok pertama (tiga permainan) kami berada diranking kelima dan pada awal blok kedua pun masih di kedudukan bawah. Hanya pada permainan kelima (blok dua) kami catat keputusan lebih tinggi iaitu 954 jatuhan pin, permainan itu membantu kemenangan kami untuk berada di kedudukan teratas,” kata Ahmad Muaz.
Mengulas mengenai pemilihan ke Sukan SEA Filipina, Ahmad Muaz berkata beliau belum pasti dengan peluangnya, sama ada bakal terpilih mewakili negara ataupun tidak.
Katanya, walaupun merasakan beliau berpeluang cerah namun Ahmad Muaz tidak mahu terlalu berharap ekoran pemilihan adalah lebih ketat yang mana hanya empat atlet terbaik sahaja akan dipilih untuk mewakili negara ke Filipina.
Acara berpasukan wanita pula diungguli pasukan Kuala Lumpur yang dibarisi Nur Syazwani Sahar, Radin Nur Najwa Arifah Radin Dzulfakar dan Nora Lyana Natasia Norkamal yang melakukan 5,095 jatuhan pin.
Dengan beza 123 jatuhan pin, pingat perak menjadi milik pasukan Sarawak (4,972 jatuhan pin) manakala pasukan Selangor mendapat pingat gangsa (4,458 jatuhan pin).
Sementara itu, jaguh negara, Rafiq Ismail mengungguli acara All-Events lelaki dengan 3,964 jatuhan pin manakala bagi kategori wanita pula, ia menjadi milik Radin Nur Najwa Arifah dengan 3,872 jatuhan pin.
Selain memenangi pingat emas acara itu, Rafiq sebelum ini meraih pingat emas acara perseorangan lelaki dan beregu lelaki pada kejohanan itu.
Beliau bagaimanapun mengaku agak kecewa kerana tidak menepati sasarannya untuk meraih empat pingat emas keseluruhan apabila terlepas sekadar meraih pingat perak acara berpasukan lelaki.
“Gembira sebab muncul juara All-Events tapi sebenarnya kecewa juga bila tidak dapat empat pingat emas seperti sasaran awal saya. Tapi saya tidak boleh nafikan pasukan Selangor bermain dengan baik apabila sekadar berbeza 42 jatuhan pin sahaja,” katanya.- BERNAMA











