KUALA LUMPUR – Pergaduhan besar yang berlaku antara pemain negara dan Persekutuan Hoki Ais Malaysia (MIHF) sama sekali tidak menghalang sukan itu untuk menghantar pasukan ke Sukan SEA 2019 di Filipina, penghujung tahun ini.
Pengurus pasukan, Hazurin Harun berkata, biarpun kemelut dalaman yang berlaku itu masih menghantui mereka hingga ke saat ini, MIHF tetap bersemangat untuk menyumbang pingat kepada kontinjen negara.
“Kami diarahkan Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA 2019 supaya menyelesaikan terlebih dahulu perselisihan yang berlaku antara pemain negara dan persatuan sebelum kami memutuskan kategori dan barisan pemain yang akan ke sana.
“MIHF sedang mencari jalan tengah dengan sembilan pemain utama negara yang enggan bermain selepas tidak berpuas hati dengan keputusan kami menggugurkan mereka kerana tidak turun berlatih.
“Mereka mempunyai sehingga Ahad ini untuk merayu pengguguran mereka. Jika mereka tidak berbuat demikian, MIHF akan menggunakan khidmat pemain yang ada sahaja untuk membawa cabaran pada Sukan SEA,” kata Hazurin selepas mesyuarat dengan Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA 2019 di sini, hari ini.
Buat masa ini, seramai 20 pemain termasuk sembilan pemain yang bermasalah disenaraikan untuk ke Filipina.
“Jika tiada sembilan pemain yang bermasalah itu, MIHF akan tetap hantar pasukan. Cuma jika mereka ada, pasukan kita menjadi lebih kuat. Itu sahaja,” tambahnya.
Pada temasya dua tahun lalu di Kuala Lumpur, skuad hoki ais berjaya menyumbang pingat gangsa di belakang Filipina yang menang emas dan Thailand meraih perak. – UTUSAN ONLINE











