BEIJING 31 Julai – Pihak berkuasa di ibu negara ini mengarahkan restoran dan gerai halal supaya membuang tulisan dan simbol Arab yang dikaitkan dengan Islam daripada papan tanda premis mereka.
Lapor Channel News Asia, tindakan tersebut dilihat sebahagian usaha China meluaskan usaha ‘sinicize’ atau menerapkan nilai-nilai China oleh kerajaan kepada populasi Muslim.
Pekerja daripada 11 buah restoran dan gerai halal di Beijing yang ditemui agensi berita Reuters memberitahu, pihak berkuasa mengarahkan mereka membuang imej yang berkait Islam seperti bulan sabit dan perkataan halal dalam tulisan Arab.
Kakitangan kerajaan daripada pelbagai agensi memberitahu seorang pengurus kedai mi di sini supaya menutup tulisan halal dalam perkataan Arab sambil mereka memantaunya.
“Mereka berkata ini merupakan kebudayaan asing dan anda patut menggunakan lebih budaya China,” kata seorang pengurus yang enggan dikenali.
Kempen terhadap tulisan Arab dan imej Islamik menandakan fasa baharu yang bermula sejak 2016, menyasarkan amalan keagamaan mengikut keadaan kebudayaan arus perdana China.
Kempen itu termasuk mengeluarkan kubah bercorak Asia Barat pada kebanyakan masjid di China.
China mempunyai 20 juta penganut Islam yang mana secara rasmi dijamin kebebasan beragama namun kerajaan berkempen membawa mereka selari dengan ideologi Parti Komunis.
Menurut penganalisis, Parti Komunis kerajaan bimbang akan pengaruh asing yang boleh membuatkan kumpulan keagamaan sukar dikawal.
“Bahasa Arab dilihat sebagai bahasa asing dan ilmu yang diperoleh dianggap sesuatu di luar bidang kawalan kerajaan,” kata ahli antropologi dari Universiti Washington yang menkaji Xinjiang, Darren Byler. – AGENSI











