KUALA LUMPUR – Mendayung buat kali pertama sejak 1980-an berani meletakkan sasaran untuk memenangi emas pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina, penghujung tahun ini.
Setiausaha Agong Persatuan Mendayung Malaysia (Perdama), Muhamad Hasnul Aizam Bakin berkata, ini kerana skuad negara sudah mempunyai seorang pendayung berpotensi besar berpangkalan di Australia yang boleh diharapkan.
“Eric Lau ini baru berumur 19 tahun, tetapi telah menyertai banyak pertandingan di Australia yang sememangnya popular dengan sukan mendayung ini. Di bahu Eric inilah kami letakkan harapan untuk menang emas pertama dalam sejarah penyertaan Sukan SEA.
“Sebagai pelajar di sana, dia berpeluang berlatih dan bertanding dengan pendayung yang bertaraf dunia di sana, suatu kelebihan dan pengalaman yang tidak dapat diperoleh oleh pendayung kita di Malaysia,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA 2019 di sini, hari ini.
Skuad mendayung dijadual menyertai dua daripada enam acara yang dipertandingkan di Filipina dengan mempertaruhkan tiga pendayung termasuk Mohamad Amirul Norhadi, Muhammad Khalis Jasniad selain Eric.
Eric akan beraksi dalam acara lightweight scull perseorangan, manakala Amirul dan Khalis akan menyertai lightweight scull beregu. Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka diletakkan di bawah kategori B.
“Memang mendayung tidak pernah memenangi emas pada Sukan SEA, paling kuatpun pernah menang perak sahaja. Tetapi dalam dua temasya di Indonesia (2011) dan Singapura (2015), kita berjaya bawa pulang satu gangsa.
“Malangnya ketika kita berada pada momentum terbaik untuk meningkat, mendayung tidak dipertandingkan pada temasya 2017 yang berlangsung di negara sendiri. Kini kami kena bina semula pasukan dan inilah hasilnya,” kata Hasnul. – UTUSAN ONLINE











