Fitnah Jokowi larang azan, 3 wanita dipenjara - Utusan Malaysia

Fitnah Jokowi larang azan, 3 wanita dipenjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 31 Julai – Mahkamah Daerah Karawang, Jawa Barat di sini semalam menjatuhi hukuman penjara enam bulan terhadap tiga wanita dari Parti Ibu-Ibu Penyokong Prabowo-Sandi (PEPES) kerana melakukan kempen hitam terhadap calon Presiden, Joko Widodo atau Jokowi semasa pilihan raya Presiden (Pilpres), baru-baru ini.

Lapor Tribunnews, Ketua Maj­lis Hakim, Elvina berkata, ketiga-tiga tertuduh, Citra Widaningsih, Engqay Sugiyanti dan Ika Peranika telah terbukti secara sah dan meyakinkan menyiarkan berita menyuruh atau turut serta menyampaikan maklumat bohong yang mengakibatkan pergaduhan.

“Walhal maklumat yang disi­arkan itu bohong dan tidak benar. Hingga saat ini, Jokowi tidak mengeluarkan peraturan seperti yang didakwa iaitu me­larang azan, melarang memakai tudung, menghalalkan perkahwinan sejenis dan melarang pendidikan,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Video ketiga-tiga wanita itu yang merakamkan mereka berkempen ke kediaman penduduk di Karawang tular dan mereka mendakwa Jokowi akan melarang pemakaian tudung, menghalalkan perkahwinan sejenis dan melarang azan.

Mahkamah turut menegaskan, hukuman itu tidak bermotifkan dendam berikutan soko­ngan mereka terhadap pasangan calon Presiden nombor dua, Prabowo Subianto-Sandiaga Uno sebaliknya adalah untuk mendidik dan introspektif.

Katanya, bagi aspek pendidikan, ia bertujuan memberi pemahaman supaya ketiga-tiga tertuduh tidak mengulangi perbuatan itu manakala bagi aspek introspektif adalah bagi membolehkan mereka mengakui ke­salahan dan menjadi rakyat yang patuh undang-undang.

Sementara itu, sebaik sahaja keputusan dibacakan, ketiga-tiga tertuduh yang memakai pakaian penjara dilihat tidak dapat menahan linangan air mata, lalu menangis teresak-esak.

Namun kesemua tertuduh akan dibebaskan pada 24 Ogos ini selepas tempoh tahanan enam bulan ke atas mereka tamat. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini