Tinju cari bayangan emas di Kazakhstan - Utusan Malaysia

Tinju cari bayangan emas di Kazakhstan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Skuad tinju Sukan SEA negara akan berkampung selama tiga minggu di Kazakhstan, November ini sebagai latihan terakhir sebelum beraksi di Filipina beberapa hari selepas itu.

Ini sebagai usaha untuk memastikan enam petinju yang disenaraikan mampu menyumbang tiga pingat tidak kira warna yang disasarkan Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM).

Pengurus pasukan, Iruwan Zulkifli berkata, latihan di Kazakhstan itu akan diketuai pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 kategori lightflyweight, Muhammad Fuad Mohd. Redzuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tinju telah diberi kuota oleh Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA 2019 untuk menghantar tiga petinju di bawah kategori A dan tiga kategori B ke Filipina dengan meletakkan sasaran tiga pingat untuk dibawa pulang.

“Bagi mencapai sasaran itu, kami akan menjalani latihan tiga minggu di Kazakhstan kerana di sana ramai rakan sepelatih yang baik serta petinju yang bagus untuk mempersiapkan petinju kita,” katanya selepas mesyuarat dengan jawatankuasa pemilihan di sini, hari ini.

Menurut Iruwan, Fuad kekal menjadi pertaruhan terbaik untuk membawa pulang emas kali ini, namun, saingan dijangka lebih kuat di Filipina memandangkan dia adalah juara bertahan yang mahu ditewaskan.

“Fuad baharu sahaja menang gangsa pada Piala Raja Thai dan prestasinya banyak meningkat. Cuma tidak banyak kejohanan yang mampu disertainya menjelang Sukan SEA nanti. Itu sebabnya kesemua petinju kita di bawa berlatih ke Kazakhstan untuk mendapat pendedahan dan persiapan lebih baik,” tegas Iruwan.

Skuad tinju akan menyertai enam daripada lapan kategori yang dipertandingkan di Filipina. Dua kategori yang tidak Malaysia sertai adalah disebabkan petinju Thailand terlalu handal dan bertaraf dunia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini