KUALA LUMPUR 31 Julai – Keputusan mengenai hilang upaya atau keilatan berhubung tuntutan faedah Pencen Ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diputuskan sidang jemaah doktor (JD) dan jemaah doktor rayuan (JDR) yang dianggotai pakar perubatan berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan.
Sehubungan itu, Perkeso dalam satu kenyataan memberitahu, JD dan JDR yang merupakan badan bebas ditubuhkan Kementerian Sumber Manusia telah mengesahkan bahawa bekas pengawal keselamatan, Khalid Yahya, 55, tidak menghidap keilatan.
Hal demikian kerana, menurut Perkeso, Seksyen 16 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) telah menjelaskan seseorang hanya dianggap menghidap keilatan apabila mengalami keuzuran berkekalan sama ada tidak boleh diubati atau tidak mungkin sembuh serta tidak berupaya mencari nafkah dengan kerja berpadanan dengan kekuatan dan tenagannya iaitu sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keupayaan pekerja normal.
“Perkeso prihatin atas masalah yang ditanggung oleh semua orang berinsurans (OB). Namun demikian, segala tindakan yang diambil adalah berdasarkan kepada peruntukan termaktub dalam Akta 4 dan Peraturan-peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971.
“Pematuhan kepada peraturan dan undang-undang bertujuan bagi memastikan hanya yang layak mendapat manfaat bayaran faedah Perkeso,” katanya di sini hari ini.
Dalam laporan Utusan Online, Isnin lalu, Khalid meminta supaya Perkeso menilai semula keputusan baru-baru ini yang mengesahkan dirinya tidak menghidap keilatan.
Menurut Khalid, keputusan itu menyebabkan dia tidak layak untuk menerima wang caruman Perkeso walaupun dirinya kini sudah tidak mampu lagi bekerja akibat patah kaki dan tangan ekoran kemalangan yang dialaminya pada 2016.
Perkeso menjelaskan kes permohonan Khalid telah dirujuk ke sidang JD pada 25 Mac lalu dan disahkan tidak menghidap keilatan dengan pengesyoran menjalani rawatan lanjutan.
JDR yang bersidang 28 Mei lalu pula mengekalkan keputusan berkenaan dan telah memaklumkan kepada Khalid menerusi surat bertarikh 1 April dan 21 Jun.
Dalam pada itu, Perkeso turut memberitahu Khalid telah menjalani rawatan pemulihan dan dibekalkan dengan sistem pembinaan semula anggota badan bernilai RM15,900 yang ditanggung sepenuhnya pertubuhan itu pada tahun 2018.
“Rentetan daripada laporan yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, ibu pejabat Perkeso sudah pun menghubungi Khalid hari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











