Warga emas maut, 29 rumah musnah dalam kebakaran di Tongod - Utusan Malaysia

Warga emas maut, 29 rumah musnah dalam kebakaran di Tongod

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN 31 Julai – Seorang lelaki berusia 63 tahun meninggal dunia selepas badannya melecur 90 peratus akibat kebakaran yang memusnahkan 29 rumah di Kampung Batung Pinangah, Tongod petang semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah hari ini, mangsa dikenali sebagai Eng Suan King @ John Philip disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital terdekat setelah dihantar oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di tempat kejadian.

Selain 29 rumah, turut musnah dalam kebakaran bermula kira-kira 5.30 petang itu ialah sebuah tadika dan dua kenderaan serta sebuah kuarters Klinik Kesihatan yang rosak 15 peratus akibat kebakaran itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan pada 5.35 petang dan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan dengan bantuan BBP Sandakan bergegas ke tempat kejadian.

Pasukan bomba terpaksa mengambil masa lama untuk tiba di tempat kejadian kerana kedudukan BBP berkenaan masing-masing jauh dari tempat kejadian.

Jarak BBP Kota Kinabatangan ke tempat kejadian adalah kira-kira 170 km, manakala jarak BBP Sandakan ke tempat kejadian kira-kira 190 km.

Operasi pemadaman kebakaran, yang diketuai komander operasi Ahmad Khairul Aris, berjaya mengawal kebakaran pada 9.50 malam.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini