KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi memerintahkan 18 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain dua tahun lalu membela diri.
Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie diakhir kes pendakwaan.
“Selepas menilai secara maksima semua keterangan saksi-saksi pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan,” kata Azman.
Bagaimanapun hanya seorang tertuduh iaitu Muhammad Akmal Akif Alias, 23, dilepas dan bebas tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 dan 3 Oktober, 4 hingga 7 November yang kemudian bersambung 18 hingga 20 November serta 3 dan 4 Disember untuk bicara bela diri bagi 18 tertuduh.
Dalam pada itu Azman turut menjelaskan kesemua tertuduh mempunyai pilihan untuk bela diri iaitu keterangan bersumpah dari kandang saksi, atau keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh atau memilih berdiam diri.
“Apa pun perlu diingatkan keterangan secara bersumpah adalah tinggi nilainya daripada keterangan tidak bersumpah,” katanya.
Mengikut pertuduhan enam pelajar didakwa membunuh Zulfarhan ialah Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.
Kesemuanya didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Sementara itu 12 lagi penuntut yang diarah bela diri pertuduhan mencederakan adalah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri.
Selain itu ialah Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany, dan Mohamad Syazwan Musa.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara pukul 2.30 pagi hingga pukul 5.30 pagi, 21 Mei lalu dan di bilik 04-10, antara pukul 1.30 pagi hingga 4.30 pagi, 22 Mei lalu.
Zulfarhan disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor pada 1 Jun 2017 dipercayai akibat dibuli selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.
Dalam prosiding itu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim dan N.Joy Jothi.
Tertuduh diwakili barisan peguam Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dhillon, A.G. Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Datuk Seri M. Ramachelvam, Azizul Shariman Mat Yusoff dan Zamri Idrus.
Seramai 29 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula Januari
tahun lalu termasuk dua saksi mata iaitu pelajar UPNM, Ahmad Senabil Mohd. dan Mohd.
Syafiq Abdullah. – K! ONLINE











