NEW DEHLI 31 Julai- Dewan Rakyat India semalam meluluskan rang undang-undang (RUU) mengharamkan amalan cerai talak tiga dalam kalangan umat Islam yang disifatkan sebagai ‘penceraian segera’ serta menjadikannya sebagai satu kesalahan jenayah di negara itu.
RUU Wanita Islam (Perlindungan Hak dalam Perkahwinan) 2019 yang melarang perceraian dengan melafazkan talak tiga itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun terhadap pesalah.
Perdana Menteri India, Narendra Modi memberitahu, India akhirnya berjaya memansuhkan amalan kuno serta membetulkan kesalahan sejarah penindasan yang dilakukan terhadap golongan wanita Islam.
“Is adalah kemenangan dan keadilan kepada konsep kesamarataan jantina di India,” katanya dalam Twitter di sini semalam.
Pada 22 Ogos 2017, Mahkamah Agung India yang memerintahkan supaya amalan perceraian tersebut tidak lagi diamalkan selepas mendapati ia tidak mengikut perlembagaan dan ajaran Islam yang sebenar meminta kerajaan untuk menjadikannya sebagai satu undang-undang. -AFP











