Evra akhirnya gantung but - Utusan Malaysia

Evra akhirnya gantung but

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS – Bekas pemain pertahanan Manchester United dan Perancis, Patrice Evra telah mengumumkan persaraannya sebagai pemain profesional pada usia 38 tahun.

Evra mengambil keputusan berkenaan selepas tidak beraksi dengan mana-mana pasukan sejak meninggalkan West Ham United pada Jun tahun lalu dan dia juga memberi bayangan untuk menceburi bidang pengurusan.

“Karier saya sebagai pemain akhirnya sudah tamat secara rasmi. Saya sudah mengikuti kursus Lesen Kejurulatihan UEFA Kelas B pada 2013, jadi saya mahu tamatkan latihan itu sebelum dapatkan lesen kelas A.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekiranya urusan berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang masalah, mungkin dalam tempoh satu tahun saya akan bersedia untuk membimbing mana-mana kelab,” kata Evra.

Bekas pemain kebangsaan Perancis itu memiliki karier yang cukup cemerlang bersama United apabila memenangi satu gelaran Liga Juara-Juara, lima trofi Liga Perdana England (EPL) serta tiga Piala Liga sepanjang musim 2006 hingga 2014.

Selepas meninggalkan Old Trafford, Evra membuat keputusan menyertai Juventus dan berjaya membantu skuad The Old Lady itu memenangi gelaran berganda dua kali berturut-turut pada kempen 2014/15 dan 2015/16.

Kemudian, dia menyertai Olympique Marseille pada 2017 sebelum kontraknya ditamatkan pada November tahun yang sama selepas dia menyepak seorang penonton sebelum perlawanan Liga Europa bermula. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini