Polis Johor tahan 381 individu berkaitan dadah - Utusan Malaysia

Polis Johor tahan 381 individu berkaitan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 30 Julai – Seramai 381 individu di ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah menerusi Ops Ice Breaker yang dilancarkan bagi melumpuhkan kegiatan berkaitan bahan terlarang itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 25 dan 50 tahun didapati terlibat dalam pelbagai kesalahan iaitu membekal, memiliki dan positif terhadap dadah.

Menurutnya, mereka ditahan menerusi operasi yang dijalankan bermula 12 malam tadi, ia dilancarkan serentak di seluruh negara oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seramai 381 orang ditahan menerusi operasi itu termasuk 12 orang ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Dalam operasi sama, polis turut merampas 181.62 gram heroin, 28.45 gram syabu, 1.7 kilogram daun ketum serta seliter air ketum,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, tumpuan operasi itu adalah terhadap pengedar dan penagih dadah tegar di kawasan yang dikenalpasti menjadi sarang penagihan dadah di negeri ini.

Beliau berkata, bagi Ops Ice Breaker di negeri ini, ia dijalankan oleh JSJN Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan dibantu oleh Pasukan Polis Marin, Unit Pengesan Anjing (K9) dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) melibatkan seramai 340 pegawai dan anggota.

“Mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Justeru, Mohd Kamarudin memohon kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah dengan menghubungi talian hotline JSJN di 012-2087222. -UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini