IBIZA, Sepanyol – Lionel Messi diiringi pengawal keselamatan keluar daripada sebuah kelab malam di Ibiza selepas seorang lelaki cuba menyerang bintang Barcelona itu.
Situasi mengejutkan itu berjaya dirakam kamera dengan pengawal keselamatan mengiringi bintang Argentina itu meninggalkan lokasi kejadian.
Kejadian itu berlaku dalam sebuah majlis yang berlangsung di Ushuaia Beach Hotel, Majorca dengan pemain berusia 32 tahun tersebut ditemani isterinya, Antonela bersama dua rakan sepasukannya.
Luis Suarez dan Jordi Alba bersama Cesc Fabregas turut berada di lokasi sama.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan punca sebenar insiden itu berlaku dan difahamkan, Messi tidak membuat sebarang kekacauan atau menimbulkan masalah.
Satu rakaman video tersebar luas dalam media sosial dengan kenyataan: “Seorang lelaki di Ibiza cuba menyerang Messi. Messi bagaimanapun tidak cedera dan dikawal baik oleh pengawal keselamatan.”
Penyerang legenda itu sedang bercuti di Ibiza bersama isteri serta tiga anaknya iaitu Thiago, Mateo dan Ciro.
Messi diberikan cuti tambahan oleh Barcelona selepas beraksi bersama Argentina dalam saingan Copa America. – AGENSI











