Van Dijk enggan perbesar perbalahannya dengan Klopp - Utusan Malaysia

Van Dijk enggan perbesar perbalahannya dengan Klopp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL – Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk enggan membesar-besarkan perbalahannya di tepi padang dengan pengurus Jurgen Klopp sewaktu Reds tewas kepada Napoli dalam perlawanan pra-musim, baru-baru ini.

Pemain antarabangsa Belanda itu dan bos warga Jerman tersebut bertengkar selepas Reds dibolosi buat kali pertama daripada tiga gol yang sekali gus mendedahkan kepincangan berlaku pada musim panas ini.

Selepas Lorenzo Insigne meledak gol pembukaan buat kelab Itali itu, Klopp kelihatan kurang berpuas hati terhadap aksi yang dipamerkan bek tengahnya itu, walaupun jaringan tersebut bukanlah berpunca daripada kesilapan Van Dijk.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bek tengah itu, bagaimanapun, kelihatan tersinggung dan marah terhadap pengurusnya apabila kedua-dua mereka bertengkar sewaktu rehat babak pertama. Bagaimanapun, Van Dijk enggan berkongsi tentang perbalahan yang berlaku.

“Perkara biasa…antara saya dan dia. Tidak perlu untuk mendedahkannya. Saya rasa semua orang perlu saling berkomunikasi. Kadang kala anda perlu memaklumkan perkara sebenar, itu sebenarnya yang berlaku,” katanya kepada pemberita.

Liverpool tumpas dalam tiga daripada enam perlawanan pra-musim dan bakal mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang Lyon, Khamis ini, sebelum mereka bertemu seteru lama Manchester City dalam pertemuan Perisai Komuniti, Ahad ini.

Sewaktu kekalahan kepada Napoli, Liverpool beraksi tanpa trio bintang, Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Alisson, tetapi Van Dijk gembira melihat mereka kembali menyertai sesi latihan.

“Kadang kala permainan kami kurang kemas, tetapi itu semua tidak membimbangkan. Musim kami hanya bermula Ahad ini, jadi fokus kami kepada perlawanan itu. Semua orang tahu pemain yang tidak menyertai kami adalah pemain yang sangat penting kepada kami. Itu hakikatnya.

“Masih banyak yang akan dipamerkan pasukan. Sebab itu kami ini juara Eropah. Kami perlu bertenang, kami memang mahu mencatat kemenangan. Tetapi kami perlu bermain pada tahap terbaik (Ahad ini). Jika kami bermain seperti pra-musim, kami tidak akan memenangi Perisai Komuniti, ia semudah itu.

“Kami perlu membuat persediaan sebaik mungkin, begitu juga dengan aksi persahabatan, yang mana ia memberi manfaat kepada pemain-pemain yang baru menyertai kami kembali. Kami pasti akan bersedia menentang City,” kata Van Dijk. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini