AUCKLAND 30 Julai – Universiti Auckland menjalankan siasatan selepas tiga lelaki China dirakam bergaduh dengan seorang pelajar di universiti berkenaan yang berdemonstrasi menentang rang undang – undang ekstradisi Hong Kong.
New Zealand Herald melaporkan, Serena Lee,27, memberitahu terkejut dan takut selepas ditolak sehingga jatuh oleh sekumpulan lelaki di hadapan dinding Lennon di kampus universiti tersebut sekitar petang Isnin.
Rakaman kejadian itu telah dimuat naik dalam laman Youtube dan tular di media sosial.
Lee berkata dia telah menerima kebenaran oleh pihak universiti untuk menampal nota tunjuk perasaan pada dinding berkenaan.
Seorang jurucakap polis mengesahkan menerima aduan berkenaan insiden tersebut.
“Kami akan siasat dan meneliti rakaman terbabit,” katanya.- AGENSI











