IPOH 30 Julai – Polis Perak menafikan tuduhan kononnya laporan forensik kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong hilang seperti mana yang dimuat naik pemilik akaun Facebook, 1 Malaysia Tolak DAP.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, tuduhan yang mengatakan laporan itu hilang tidak benar sama sekali kerana pihak polis sebenarnya sedang menunggu laporan perubatan dan laporan Jabatan Kimia.
Sehubungan itu beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat terhadap pemilik akaun berkenaan bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atas kenyataan berunsur fitnah itu.

“Satu laporan polis telah dibuat berikutan tindakan pemilik akaun Facebook terbabit yang memuatnaik status berbunyi ‘laporan forensik kes rogol Exco DAP Perak dilaporkan hilang. Bagaimana boleh hilang? Ada tangan ghaibkah yg mengarahkan laporan forensik tersebut dilenyapkan?” dengan mengaitkan kenyataan media Ketua Wanita MCA.
“Kenyataan tidak bertanggungjawab yang dibuat oleh pemilik akaun Facebook, 1 Malaysia Tolak DAP itu merupakan fitnah yang mencabar kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menjalankan siasatan kes berkenaan dengan telus dan teliti,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, bagi membantu siasatan kes berkenaan, pihaknya akan memanggil Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie untuk diambil keterangan.
Katanya, siasatan kes itu akan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
“Semua pihak diingatkan agar tidak membuat sebarang kenyataan atau
spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan serta menafikan ketelusan, keadilan dan nama baik PDRM terutamanya PDRM Perak,” katanya.
Seai Kie dalam kenyataannya semalam menggesa polis Perak untuk menjelaskan dakwaan berlaku kesilapan pasukan keselamatan itu apabila tidak melampirkan laporan forensik sehingga menyebabkan kertas siasatan kes membabitkan seorang Exco yang didakwa merogol pembantu rumahnya terpaksa ditolak pihak pendakwa raya.
Seai Kie seperti yang dilaporkan berkata, adalah amat memalukan apabila pejabat timbalan pendakwa raya terpaksa memulangkan semula kertas siasatan kepada polis kerana bukti paling penting iaitu laporan forensik dan pakar perubatan tidak disertakan.
Kenyataan Seai Kie itu kemudiannya dikongsi oleh pemilik akaun berkenaan pada hari sama sebelum ia dipadamkan. -UTUSAN ONLINE











