Awal tahun ini, pelakon Nur Sarah Marie Hildebrand telah mengesahkan hubungan cintanya dengan pengacara, Nabil Mahir berakhir selepas lima tahun bersama.
Sarah pada mulanya banyak mengunci diri, mengambil pendirian enggan mendedahkan punca perpisahan dan hanya mahu meneruskan kehidupan seperti biasa.
Namun pegangan tersebut nyata roboh apabila pelakon Pujaan Hati Kanda itu baru-baru ini membuat pengakuan berani mati. Menerusi Instagram, dia berkongsi kecamuk hati dan punca perpisahan disebabkan onar di bekas kekasih.
Tidak lama selepas luahannya disedari mungkin disalah faham netizen, Sarah bertindak memadamkan pengakuan yang telah di muat naik di Instagramnya itu. Semua maklum luahan berkenaan merujuk kepada bekas kekasihnya, pengacara bernama Nabil Mahir,
Terlanjur kata atau terleka tentang rasional, niat Sarah sekadar mempertahankan diri apabila ada cubaan yang mahu mengacau periuk nasinya sebagai pelakon dengan fitnah.
Turut mengakui pernah mengalami masalah depresi kerana bertahan dalam hubungan yang disifatkan sebagai toksik, wanita berusia 29 tahun menetapkan azam baharu. Dia mahu menjadi penyampai motivasi bagi membantu peminat yang mengalami keadaan serupa.
KOSMO!: Mengapakah anda mengambil keputusan untuk mendedahkan secara terbuka punca perpisahan dengan bekas kekasih?
SARAH: Saya sudah lama berdiam diri dengan harapan isu ini tidak perlu diperbesarkan. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini banyak fitnah yang bertebaran dan mengacau punca rezeki termasuk disampaikan kepada bakal-bakal klien yang mahu bekerjasama dengan saya.
Jadi, saya mengambil keputusan untuk membuat pendedahan (di Instagram) supaya kebenaran diberitahu kepada semua. Saya mahu reputasi saya dibersihkan semula.
Adakah anda bertindak memadamkan status berkenaan?
Tidak, saya cuma membuat sedikit pembetulan agar tidak kedengaran terlalu lantang. Ada beberapa perkataan yang agak sensitif, jadi saya tukar supaya lebih lembut dibaca, namun tidak mengubah apa yang saya ingin sampaikan secara keseluruhan.
Adakah anda trauma untuk bercinta lagi?
Pengalaman mendewasakan namun saya akui, kejadian itu membuatkan saya berdepan masalah yakin diri dan sukar mempercayai orang, terutama berkaitan perasaan.
Adakah perkara tersebut yang membuatkan anda mahu menjadi penyampai motivasi?
Ya, kerana saya menerima banyak mesej yang memberitahu mereka juga berdepan situasi serupa. Kebanyakan berkaitan emosi dan mental. Memandangkan saya ada platform untuk bercakap tentang hal sebegitu, tiada salahnya untuk saling berkongsi demi kebaikan bersama. Masalah begini jarang diperkatakan, namun berlaku dalam masyarakat. Saya cuba mengubah persepsi itu mengikut kemampuan saya.
Anda pernah mengalami masalah depresi?
Ya, tetapi bukan disebabkan hal cinta sahaja. Namun saya bersyukur kerana masalah itu tidak teruk dan saya berjaya melawannya.
Bagaimana dengan persediaan anda jika dikecam tidak layak menjadi penyampai motivasi?
Saya okey sahaja kerana menjadi selebriti, kecaman ibaratnya alah bisa tegal biasa. Apa yang penting saya yakin dan percaya mampu melakukannya.











