SEBERANG PERAI – 116 lelaki ditahan polis dalam serbuan di tiga lokasi sarang penagihan dadah di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini semalam.
Operasi yang mengambil masa sehari sehingga pukul 12 tengah malam tadi itu melibatkan kawasan semak di Kampung Bakau Tua, Kepala Batas; Kampung Lembah Raja, Tasek Gelugor dan Kampung Pekan Darat, Butterworth di sini.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, Ops Ice Breaker tersebut dilakukan sebagai usaha pihaknya membasmi kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di daerah itu.
“Mereka yang ditangkap adalah 116 orang yang terdiri daripada pengedar dan penagih dadah berusia di antara 18 hingga 60 tahun yang bekerja sebagai buruh, nelayan dan penganggur.
“Hasil pemeriksaan di ketiga-tiga lokasi tersebut, polis turut merampas bahan-bahan yang disyaki dadah jenis heroin seberat kira-kira 60.1 gram (g), syabu (20g) dan ganja (2.3g) bernilai RM5,500 daripada 30 penagih yang ditangkap,” katanya kepada pemberita hari ini.
Noorzainy berkata, kesemua suspek dan barang kes telah dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, Kepala Batas di sini bagi siasatan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati dadah tersebut adalah bagi kegunaan sendiri dan untuk dijual di dalam port dadah di kawasan itu.
“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati kesemua mereka yang ditahan positif pelbagai jenis dadah,” katanya lagi.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya akan sentiasa melakukan operasi bagi membendung kegiatan berkenaan di daerah itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi talian Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di talian 012-208 7222. – K! ONLINE











