KOTA BHARU 30 Julai – Dua lelaki serta seorang wanita ditahan bersama 508 biji disyaki pil kuda bernilai RM3,500 di Kampung Chekok, Pengkalan Chepa, di sini, Sabtu lalu.
Kesemua suspek itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kira-kira pukul 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, ketika serbuan semua suspek berada di hadapan sebuah rumah di kampung itu.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap seorang suspek berusia 37 tahun menemukan dompet yang mengandungi 30 tiub straw disyaki pil kuda di dalam poket seluarnya.
“Pemeriksaan seterusnya terhadap suspek lelaki berusia 30 tahun menemukan satu tiub straw di dalamnya berisi 10 biji pil jenis sama dalam poket seluarnya.
“Pemeriksaan terhadap wanita berusia 32 tahun pula ketika itu sedang memegang satu bekas berzip di dalamnya mengandungi satu bekas tin berisi dua tiub straw mengandungi sebiji pil kuda,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, pemeriksaan lanjut di dalam sebuah bilik di rumah itu menemukan satu bekas tin yang mengandungi lebih 400 biji disyaki pil kuda.
Menurutnya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula Sabtu sehingga 2 Ogos bagi membantu siasatan mengikut
Seksyen 39B Akat Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta yang sama.
“Siasatan awal mendapati semua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau dan berkaitan kes narkotik.
“Ujian saringan terhadap semua suspek yang tidak bekerja juga positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya. – UTUSAN ONLINE











