M+S jual ORC RM4.74 bilion - Utusan Malaysia

M+S jual ORC RM4.74 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Julai – M+S Pte. Ltd. (M+S) bersetuju untuk menjual kesemua kepentingannya dalam subsidiari milik penuh, Ophir-Rochor Commercial Pte. Ltd. (ORC) kepada Allianz Real Estate dan Gaw Capital Partner (Gaw) dengan nilai pertimbangan jualan S$1.575 bilion (RM4.74 bilion).

M+S dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Temasek dengan pegangan masing-masing sebanyak 60 dan 40 peratus. Syarikat itu ditubuhkan pada 27 Jun 2011 bagi membangunkan Marina One dan Duo iaitu dua pembangunan bercampur di Singapura.

Allianz Real Estate bertindak bagi pihak beberapa kumpulan syarikat Allianz dan firma ekuiti hartanah swasta, Gaw mewakili akaun berasingan dana kekayaan berdaulat.

Memuatkan artikel berkaitan…

M+S dalam kenyataannya berkata, nilai pertimbangan itu bersamaan dengan S$2,570 (RM7,728) bagi setiap kaki persegi kawasan sewaan bersih.

“Tawaran berkenaan diterima melalui proses tunjuk minat yang dijalankan oleh konsultan hartanah, JLL,” katanya di sini hari ini.

ORC merupakan pemaju dan pemilik Duo Tower serta Duo Galleria, bahagian ruang pejabat dan runcit Duo. Pembangunan bercampur itu juga termasuk Duo Residences dan hotel Andaz Singapore.

Pembangunan Duo terletak di koridor Ophir-Rochor di Singapura, bersebelahan daerah warisan Kampong Glam. Duo Tower terdiri dari 20 tingkat kawasan pejabat gred A dan digunakan oleh beberapa syarikat multinasional terkemuka dan tempatan.

Menurut syarikat itu, cadangan transaksi itu tidak termasuk Andaz Singapore dan pihaknya akan terus memiliki hotel mewah lima bintang berkenaan bersama dengan Marina One.

Katanya, syarikat mencatatkan pertumbuhan mampan menerusi kepelbagaian penyewa, peruncit, pemilik kediaman, pengunjung membeli-belah serta tetamu hotel dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif M+S, Kemmy Tan berkata, cadangan transaksi RM4.74 bilion itu bakal memberikan peluang kepada syarikat untuk memaksimumkan pulangan kepada pemegang saham.

“Kami sedia bekerjasama bersama kombinasi Allianz Real Estate dan Gaw memandangkan kami akan terus memiliki Andaz Singapore.

“Kedua-dua syarikat memiliki rekod global terbaik dalam pengurusan dan pembangunan hartanah yang mana ia dapat mengukuhkan Duo sebagai tempat yang menarik untuk perniagaan global serta pengembara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini