KUALA LUMPUR 29 Julai – China bersedia memperkukuh kesalinghubungan perdagangan dua hala dengan Malaysia serta membolehkan kemasukan lebih banyak produk-produk negara ini untuk bersaing dalam pasarannya.
Duta China ke Malaysia, Bai Tian berkata, antara bidang yang boleh dibincangkan secara mendalam termasuk kewangan dan pertanian yang bernilai tinggi.
“Kita juga boleh meninjau penyertaan dalam industri dan perniagaan baharu seperti e-dagang, kecerdasan buatan (AI) dan membangunkan pusat pertumbuhan baharu bagi kerjasama Malaysia-China,” katanya ketika berucap pada Forum Jalur dan Laluan China-Malaysia (BRI) Mengenai Kerjasama Rakyat dan Ekonomi di sini hari ini.
Mengulas selanjutnya, Bai Tian berkata, China juga terbuka kepada sebarang usaha untuk memperhebatkan pertukaran rakyat kedua-dua negara menerusi jalinan kerjasama lebih erat dalam bidang seperti dialog kumpulan pemikir dan media, pertukaran pelajar, latihan sumber manusia, pelancongan, sukan dan sebagainya yang menjadi platform saling menimba dan berkongsi pengalaman.
Beliau turut menyifatkan Inisiatif (BRI) dalam konteks China-Malaysia sebagai kesempatan mewujudkan peluang termasuk membawa kepada pembukaan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China.
“Usaha itu yang sering dirujuk sebagai Taman Berkembar Dua Negara itu mencatat kemajuan yang lancar.
“Selain itu, Projek Laluan Rel Pantai Timur baru sahaja dilancarkan semula dan akan menjadi pemangkin pembangunan negeri-negeri di sepanjang laluan dalam bidang seperti perdagangan, logistik, pelancongan dan taman industri,” katanya. – BERNAMA











