KUALA LUMPUR – Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) masih belum dapat memutuskan sama ada slot terakhir untuk kategori A bagi acara Air Rifle wanita Sukan SEA 2019 diberikan kepada penembak Nur Suryani Mohd Taibi atau Noor Izzati Jasni.
Ahli Jawatankuasa Pertandingan dan Latihan NSAM, Datuk Musa Omar berkata, pada awalnya Noor Izzati yang dicadangkan untuk kategori A, yang mana kos penyertaan ditanggung sepenuhnya, tetapi prestasinya sedang merudum pada masa ini.
Namun, Nur Suryani pula menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang sejak kebelakangan ini, menyebabkan badan induk kebangsaan itu masih belum membuat keputusan muktamad berhubung penembak yang layak dalam kategori A.
“Saya sebenarnya memohon Majlis Olimpik Malaysia (OCM) menyenaraikan Nur Suryani dan Noor Izzati dalam kategori A tetapi tidak berjaya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma OCM di sini, hari ini.
Menurutnya hanya Jonathan Wong, Mohamad Lutfi Othman, Bernard Cheng, Shaheera Rahim Raja dan sama ada Nur Suryani atau Noor Izzati disenaraikan dalam kategori A.
Menurut Musa, seramai 11 penembak diletakkan di bawah kategori B, yang mana kos penyertaan akan dibayar balik sekiranya membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, kemungkinan ada perubahan dalam pengelasan kategori atlet, bergantung kepada prestasi mereka dalam Kejohanan Asia Tenggara (SEASA) ke-43 di Jakarta, bermula 16 hingga 26 Ogos ini.
Mengulas mengenai sasaran pingat, Musa berkata, NSAM hanya menyasarkan dua pingat emas pada edisi di Filipina kerana kekangan acara yang berbeza daripada anjuran Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF).
“Jumlah acara dipertandingkan di Filpina tidak sama dengan edisi 2017 di Kuala Lumpur kerana banyak acara bukan acara Sukan Olimpik seperti ‘silhouette’ dan ‘bench rest’.
“Atas sebab sama, pemenang emas acara 25m pistol wanita pada 2017, Alia Sazana Azahari turut terkeluar daripada senarai atlet yang mewakili negara,” katanya.
Antara acara yang bakal disertai skuad negara ialah air rifle, air pistol, trap dan Precision Pistol Competition (PPC).
Untuk rekod, skuad menembak negara berjaya meraih empat pingat emas pada 2017 menerusi double trap lelaki, 10m air pistol, 50m pistol, 50m rifle prone lelaki dan 25m pistol wanita. – BERNAMA











