SHAH ALAM – Walaupun pekak dan bisu, namun ia tidak menghalang pasukan dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Selangor (SKPKS) menyertai Kejohanan Dodgeball Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS) 2019 buat julung kalinya tahun ini.
Kejohanan di Kompleks Sukan Panasonic, Seksyen 24 di sini, hari ini turut disertai 71 sekolah dari seluruh Selangor untuk bertanding dalam empat kategori iaitu bawah 17 tahun lelaki dan perempuan serta bawah 15 tahun campuran, selain bawah 12 tahun campuran.
Pasukan dodgeball SKPKS yang terdiri daripada 10 pemain pekak dan bisu merupakan satu-satunya pasukan kelainan upaya menyertai kejohanan itu dan bertanding dalam kategori bawah 12 tahun campuran dengan dipimpin oleh ketua jurulatih, Muhammad Buqhari Che Hassan.
Dodgeball adalah permainan di mana pemain daripada kedua-dua pasukan cuba membaling bola ke atas satu sama lain, sambil mengelak daripada terkena bola berkenaan, sepertimana permainan bola beracun.
Menurut Muhammad Buqhari, yang juga guru Bahasa Inggeris SKPKS, penyertaan pasukan berkenaan buat pertama kalinya bertujuan memberikan pendedahan dan pengalaman baharu kepada pelajar kelainan upaya itu supaya mereka berasa yakin untuk bersaing dengan pelajar biasa.
“Saya lihat pelajar-pelajar ini walaupun kelainan upaya, tetapi mereka memiliki tahap fokus yang tinggi kerana pendengaran mereka tidak terganggu dengan bunyi. Disebabkan itu, saya mengambil peluang ini untuk melatih dan mengasah lagi bakat mereka.
“Sesi latihan dodgeball dilakukan dengan kerjasama beberapa guru lain. Kami mahu mereka dapat merasai pengalaman bermain dan bertanding seperti pelajar biasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada kejohanan itu, di sini.
Ditanya mengenai cara latihan sukan dodgeball yang diajarkan kepada pelajar kelainan upaya itu, Muhammad Buqhari berkata, beliau menggunakan bendera bagi menggantikan tiupan wisel sepanjang permainan berlangsung, selain bahasa isyarat untuk menerangkan mengenai peraturan sukan tersebut.
Bagi Azmir Abdullah, 12, yang mengalami kecacatan pendengaran dan bisu memberitahu, dia berasa sedikit gementar ketika bermain kerana kejohanan itu adalah yang pertama disertainya.
“Kejohanan ini merupakan satu pengalaman baharu kepada saya. Walaupun sedikit gementar tapi saya gembira kerana terpilih menyertainya dan dapat bermain bersama rakan-rakan saya dan pelajar biasa yang lain,” katanya dengan menggunakan bahasa isyarat yang diterjemahkan oleh gurunya, Darwina Zulkifli.
Seorang lagi pemain SKPKS, Parko Lai Hock Ken, 12, berkata, walaupun dia ‘tidak sesempurna’ pemain pasukan sekolah lain, namun latihan dan dorongan yang diberikan oleh guru-guru sekolah itu sangat membantu dirinya untuk berusaha lebih gigih.
“Terima kasih kepada guru dan juga rakan sepasukan yang memberi semangat dan kerjasama sepanjang dalam latihan,” katanya.
Pada kejohanan itu, pasukan SKPKS bertanding dalam lima perlawanan dengan meraih keputusan seri dalam satu perlawanan, namun kalah untuk baki empat lagi pertemuan. – BERNAMA











