KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran membabitkan tiga pegawai kanannya yang akan berkuat kuasa pada 3 September ini.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, pertukaran terbabit didahului Penolong Pengarah (D8) Operasi Khas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Asisten Komisioner Muhammad Zawawi Ismail yang akan bertukar sebagai Ketua Penolong Pengarah (D8) JSJ, Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
“Sementara Pegawai Turus E2C Cawangan Khas, Bukit Aman, Asisten Komisioner Aida Abdul Hamid akan bertukar sebagai Penolong Pengarah Pengurusan (Pembangunan) Hal Ehwal Pesara Polis, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman.
“Pertukaran terakhir membabitkan Juruiring kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak, Asisten Komisioner Kaderi Said yang akan bertukar sebagai Timbalan Komander Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE











