LUMUT 29 Julai- Seorang lelaki yang membunuh adiknya dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di Pantai Remis dekat sini semalam direman selama tujuh hari.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, suspek yang berusia 37 tahun ditahan reman mulai hari ini sehingga 4 Ogos ini.
“Mahkamah Majistret di sini telah membenarkan permohonan reman ke atas suspek selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 4 Ogos ini.
“Suspek kini ditahan di lokap Ibu pejabat Daerah (IPD) Manjung,” katanya di sini hari ini.
Muhammad Hanif berkata, hasil bedah siasat terhadap mayat mangsa, Hussain Mai Din, 35, mendapati mangsa maut disebabkan luka akibat tetakan pada kepala.
“Laporan kematian mangsa diperoleh selepas proses bedah siasat dilakukan hari ini di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh,” katanya.
Dalam kejadian semalam, mangsa maut setelah bergaduh dengan abangnya berpunca daripada tindakan abang mangsa bercakap kasar dengan emak mereka berhubung bil elektrik kedai makan yang tertunggak. – UTUSAN ONLINE











