KOTA BHARU 29 Julai – Anak kepada Timbalan Pengerusi Veteran UMNO negeri, Datuk Kamarudin Abdullah yang cedera parah ditetak ketika berjalan ke masjid di sini semalam hairan kenapa ada pihak yang sanggup memperlakukan ayahnya sedemikian rupa.
Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, ayahnya tidak mempunyai permusuhan dengan sesiapa, malah dikenali sebagai individu yang sangat suka membantu orang lain.
Beliau yang merupakan anak keempat kepada Kamarudin berkata, meskipun keluarga sangat terkejut dengan peristiwa itu namun mereka bersyukur kerana umur ayah masih panjang.
“Melalui cara serangan nampaknya penjenayah bukan profesional, kalau tidak ayah saya pasti dalam keadaan kritikal sekarang.
“Ayah bersahabat dengan semua orang, sebab itu kalau kata ada permusuhan dalaman adalah tidak mungkin dan tidak logik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini hari ini.
Setakat ini, keadaan Kamarudin, 67, dilaporkan stabil setelah menjalani pembedahan selama empat jam hari ini di bahagian kepala dan pinggang untuk membuang darah beku. Beliau juga mampu mengenali semua pelawat yang menziarahinya.
Mengulas lanjut, Shahrul Nasrun berkata, beliau berterima kasih kepada pihak polis yang sentiasa memaklumkan kepada keluarga mereka tentang perkembangan terkini siasatan kes serangan ke atas Kamarudin.
“Saya berharap peristiwa ini memberi pengajaran kepada pihak berkuasa untuk menambah untuk kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar bandar. Ini bukan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja tetapi juga Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.
Tambah beliau, tragedi tersebut turut mendapat perhatian pimpinan tertinggi UMNO termasuk Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkongsi tentangnya dalam Facebook malah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob telah menelefonnya secara peribadi.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi pula tidak putus-putus menghubunginya bertanyakan khabar dan perkembangan terkini Kamarudin.
“Ayah sudah berusia namun beliau kekal aktif dalam gerak kerja politik dan membantu parti dalam kesemua pilihan raya kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU 14) setakat ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Badan Perhubungan Pas Negeri Sembilan, Muhamad Badzli Abu Bakar yang menziarahi Kamarudin berkata, pihaknya berharap Kerajaan Persekutuan memberi lebih kelonggaran kepada pemimpin dan aktivis politik untuk memiliki senjata api sebagai perlindungan diri.
“Sebagai aktivis pembangkang, Kamarudin adalah seorang yang vokal dalam memberi pandangan, malah beliau lebih bersemangat dan aktif melebihi orang muda, kami Pas Negeri Sembilan menghargai khidmatnya semasa berkempen bersama di PRK Rantau,” katanya.
Muhamad Badzli turut menyampaikan salam daripada Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang tidak dapat hadir keranan masih berada di luar Kelantan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam semalam, Kamarudin cedera parah ditetak dua individu lelaki ketika berjalan seorang diri di luar sebuah kedai kopi di Jalan Tengku Chik di sini. – UTUSAN ONLINE











