PUTRAJAYA 29 Julai – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia telah memasang hampir 300 papan tanda lintasan hidupan liar di 170 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia.
Menurut Jabatan Perhilitan, inisiatif itu adalah untuk mengurangkan ‘roadkill’ hidupan liar iaitu kejadian hidupan liar mati di jalan raya akibat dirempuh kenderaan.
Jelasnya, bagi Negeri Terengganu, sebanyak 40 papan tanda lintasan hidupan liar termasuk dua papan tanda “kawasan lintasan hidupan liar” telah dipasang pada jarak kira-kira 18 kilometer dari lokasi kejadian seekor gajah betina mati akibat dirempuh oleh sebuah lori dengan muatan bijih besi di Kilometer 44 Lebuhraya Gawi- Aring, Hulu Terengganu, malam semalam.
“Orang awam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika memandu di kawasan lintasan hidupan liar serta memperlahankan kenderaan sekiranya terlihat papan tanda lintasan hidupan liar.
“Bagi memastikan keselamatan pengguna Lebuhraya Gawi-Aring Hulu Terengganu, Perhilitan masih memantau kawasan tersebut.
“Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) menyeru orang ramai menyalurkan maklumat terus kepada Jabatan Perhilitan dengan menghubungi talian 1-800-88-5151 jika terserempak dengan kumpulan gajah yang melalui kawasan tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Jabatan Perhilitan lagi, bangkai gajah betina terbabit telah dilupuskan dengan cara ditanam mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan.
Jelasnya lagi, pihak Jabatan Perhilitan Daerah Hulu Terengganu menerima laporan seekor gajah betina mati akibat dirempuh lori muatan bijih besi kira-kira pukul 8.30 malam semalam di lokasi terbabit.
Selepas menerima laporan tersebut, kakitangan Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu telah pergi untuk menyiasat di lokasi kejadian yang merupakan laluan utama menghubungkan Hulu Terengganu, Terengganu dan Gua Musang, Kelantan.
“Setibanya di lokasi, gajah yang berumur lebih kurang 12 tahun tersebut didapati telah mati dan berada di bahagian bawah lori yang sedang menghala ke arah Aring menuju ke Gawi,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











