BEIJING 29 Julai- Jumlah kematian dalam tanah runtuh yang memusnahkan perkampungan di barat daya China meningkat kepada 42 orang, kata stesen televisyen tempatan, CCTV hari ini, dengan sembilan lagi dilaporkan masih hilang.
AFP melaporkan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian di daerah Shuicheng, wilayah Guizhou yang membabitkan 22 buah rumah dihentikan seketika malam tadi.
Menurut sumber, kerajaan memperuntukkan 30 juta yuan (RM17.9 juta) untuk misi menyelamat dan penempatan semula mangsa.
Tanah runtuh adalah ancaman utama di kawasan pedalaman dan pergunungan China, khususnya selepas hujan lebat malah negara itu berdepan masalah banjir yang agak buruk tahun ini.
Pada Ogos 2017, sekurang-kurangnya 30 penduduk maut dalam dua kejadian tanah runtuh berasingan di kawasan pedalaman wilayah Guizhou. -AFP











