KUALA LUMPUR 29 Julai – Rancangan sedang dibuat untuk membina kilang pembuatan pintar kenderaan elektrik di tapak seluas 161.87 hektar di Taman Perindustrian Enstek di Negeri Sembilan dengan pelaburan berjumlah RM5 bilion.
Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr. Kamal Salih berkata, projek itu akan dibangunkan oleh pelabur tempatan secara kerjasama dengan Elenvi Otomotif Sdn. Bhd..
“MIER telah dipertanggungjawabkan oleh Elenvi dan pelabur itu untuk menjalankan kajian daya maju dan pelan perniagaan, pelaburan dan kewangan yang akan diusulkan kepada perdana menteri untuk dipertimbangkan.
“Ini merupakan pelaburan sektor swasta dan ia akan bergantung kepada beliau (Tun Dr. Mahathir Mohamad) untuk memutuskan sama ada ia akan menjadi kereta nasional ketiga kita,” katanya kepada pemberita pada Taklimat Ekonomi Nasional ke-34 MIER di sini, hari ini.
MIER tidak menyediakan sebarang maklumat terperinci mengenai pembiaya swasta bagi pelaburan itu.
Kamal berkata pameran kereta elektrik pertama itu akan dilancarkan pada Oktober oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kenderaan itu akan direka bentuk dan dikeluarkan bagi pasaran tempatan dan eksport.
Terdahulu MIER memeterai beberapa memorandum persefahaman (MoU) dengan 20 rakan kongsi strategik termasuk Elenvi bagi projek pembuatan pintar kenderaan elektrik.
MoU itu mengetengahkan tujuh teknologi termasuk kereta elektrik, hidrogen padu, 5G dan bahan api biojet daripada minyak sawit.
Permeteraian MoU itu merupakan sebahagian daripada pelan penyelidikan baharu MIER bagi tempoh 2019-2023 yang diberi jolokan “Crouching Tiger Plan” yang mana seiring dengan aspirasi kerajaan untuk mencapai “kemakmuran bersama 2030”.
Kamal berkata, rancangan itu terdiri daripada tiga objektif utama iaitu menangani jurang pendapatan dan kekayaan, mewujudkan ekonomi progresif yang bernilai tinggi dan berasaskan pengetahuan serta bagi negara untuk muncul sebagai ekonomi utama di Asia.
“Kami berharap cadangan konsep dan perancangan itu boleh diteliti oleh segenap lapisan rakyat.
“Dan ia akan dibawa ke peringkat akar umbi bagi mendapatkan maklum balas dan menjana idea yang lebih baik sebelum ia dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Ke-13 bagi mencapai kemakmuran bersama 2030,” katanya. – BERNAMA











