MIER perkenal petunjuk baharu pertumbuhan ekonomi, kos sara hidup - Utusan Malaysia

MIER perkenal petunjuk baharu pertumbuhan ekonomi, kos sara hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Julai – Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) memperkenalkan dua petunjuk baharu untuk mengukur pertumbuhan ekonomi Malaysia dan kos sara hidup iaitu Petunjuk Kesejahteraan Sebenar (GPI) dan Petunjuk Kos Sara Hidup (CLI).

Felo bersekutu MIER, Prof. Dr. Jamal Othman berkata, petunjuk itu akan melengkapkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semasa yang tidak direka untuk mengukur kemajuan, kesejahteraan atau kemakmuran sebenar dan Indeks Harga Pengguna (IHP).

“Kelemahan utama KDNK terletak pada kegagalannya untuk memisahkan kos daripada manfaat dan untuk membezakan aktiviti peningkatan kebajikan daripada yang bahaya. Ia tidak mengiktiraf nilai kegiatan tidak rasmi antara lainnya, aktiviti tidak dibayar seperti kerja amal dan pekerja rumah tangga yang tidak dibayar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“GPI menyediakan penyelesaian kepada kelemahan yang wujud dalam KDNK. Ini langkah yang sesuai untuk mencerminkan sekiranya kita berada di landasan kemajuan atau kesejahteraan sebenar,” katanya kepada pemberita pada pelancaran petunjuk itu bersempena dengan Taklimat Ekonomi Kebangsaan MIER ke-34 di sini hari ini.

Beliau berkata, GPI membantu penggubal dasar, penganalisis dan orang awam secara keseluruhan untuk melihat ekonomi sebagai ekosistem simbiotik penyampaian barangan ekonomi, tidak boleh dipisahkan daripada sistem sosial dan ekologi.

“GPI adalah termasuk ukuran makro yang mendedahkan yang tersembunyi dan kewujudan dinamik kepentingan yang tersembunyi dalam perkembangan ukuran asas pertumbuhan ekonomi konvensional. Dengan bukti daripada GPI, kita boleh menangani isu berbangkit, tepat pada masanya dan berkesan untuk memastikan jalan menuju kesejahteraan sebenar berada di landasan,” katanya.

Jamal berkata, GPI telah dihasilkan oleh penyelidik di pelbagai kawasan termasuk Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Asia Pasifik, dengan negara yang terlibat dalam kajian ini terdiri daripada antara lain Australia, New Zealand, Korea Selatan, Jepun, China, India, Singapura, Thailand, dan Vietnam.

Mengenai IHP, beliau berkata, walaupun ia merupakan alat ukuran harga atau kadar inflasi yang sangat berguna, ia tidak pernah menjadi alat ukuran kos sara hidup yang tepat kerana perubahan ukuran indeks dalam sekumpulan harga penggunaan tetap dan menjejakinya dari semasa ke semasa.

“IHP mengukur perubahan dalam kos sara hidup bergantung kepada perubahan harga yang diberikan, sambil mengekalkan taraf hidup yang sama. Ia mengukur berapa banyak pendapatan yang diperlukan oleh wakil isi rumah bagi mengekalkan standard asas kehidupan yang sama memandangkan perubahan harga yang berlaku di pasaran,” katanya.

Jamal berkata, MIER akan membangunkan dan memantau dua set IHP, yang mana set pertama akan mengikut kumpulan penggunaan sedia ada iaitu IHP yang diberikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Bagaimanapun beliau berkata, peruntukan akan diberikan bagi membolehkan isi rumah menggantikan sebarang barang penggunaan dalam menghadapi perubahan harga secara relatif.

“Set yang kedua berasaskan pada tahap pendapatan yang diperlukan untuk memperoleh satu set makanan dan item penggunaan bukan makanan yang terdiri daripada standard kehidupan tertentu,” katanya dan menambah pengumuman pertama IHP yang baharu mungkin dibuat pada Disember tahun ini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini