Tanaman padi pulut Ogos ini - Utusan Malaysia

Tanaman padi pulut Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 28 Julai – Tanaman padi pulut yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pulau Langkawi, dekat sini akan dimulakan pada minggu hadapan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kira-kira 40 hektar kawasan penanaman dikenal pasti sebagai perintis kepada projek tanaman itu.

“Kita akan melancarkan program tanaman padi pulut di Langkawi pada 2 Ogos ini bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri yang mahu melihat pulau itu menjadi pengeluar beras pulut terbesar negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malah, kita juga dalam proses untuk memulakan projek tanaman sayur-sayuran secara moden bagi menampung permintaan hotel-hotel di pulau peranginan terbabit,” katanya selepas melancarkan Program Pembiayaan Mikro Agro Nisaa’ Untuk Komuniti Nelayan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan; Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari.

Pada 25 Mei lalu, Dr. Mahathir percaya kebergantungan terhadap beras pulut dari negara jiran mampu dikurangkan sekiranya Pulau Langkawi dijadikan pusat pengeluaran terbesar.

Menurut beliau, langkah itu juga membolehkan penduduk tempatan meningkatkan tahap ekonomi memandangkan harga beras pulut yang kini lebih tinggi di pasaran.

Sementara itu, Salahuddin berkata, Jabatan Pertanian juga sedang meneliti beberapa bangunan di pulau itu untuk dijadikan lokasi menanam pelbagai jenis sayur-sayuran secara hidroponik dan aquaponik.

“Kita boleh memulakan projek itu pada bila-bila masa selepas mendapat lokasi yang sesuai kerana sistem tanaman itu sudah disediakan dan cuma bergantung kelulusan untuk menggunakan bangunan di sana sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, golongan yang menerima pembiayaan Mikro Agro Nisaa’ berpeluang untuk membuat pinjaman yang lebih besar sekiranya mereka mahu mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Kita akan memantau perniagaan mereka dari masa ke semasa, malah akan terus membantu memasarkan produk-produk melalui agensi yang ada bagi membolehkan mereka terus berjaya dan dapat keluar dari paras kemiskinan,” katanya.

Terdahulu, seramai 200 orang isteri nelayan atau usahawanita di bawah Nekmat didaftarkan untuk program tersebut dengan pembiayaan yang kompetitif dan kadar keuntungan serendah empat peratus. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini