MACAU – Paris Saint Germain (PSG) yang beraksi tanpa Neymar dikecewakan dengan gol penyamaan pada masa kecederaan sebelum tumpas 5-6 kepada Inter Milan menerusi penentuan sepakan penalti dalam satu aksi persahabatan di sini awal hari ini.
Kelab gergasi Perancis itu sepatutnya hanya beberapa saat lagi untuk mencatat kemenangan hasil gol pendahuluan Pablo Sarabia di penghujung babak pertama menerusi sepakan percuma yang cantik.
Bagaimanapun ketika PSG seakan hampir meraikan kemenangan, Samuele Longo mengejutkan benteng pertahanan mereka dengan gol penyamaan saat akhir yang memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.
Malah PSG tambah derita apabila penjaga gol Inter, Samir Handanovic berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti sebelum Joao Mario menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk kelab Itali itu menang.
Kemenangan Inter yang dibimbing Antonio Conter itu hadir sehari selepas mereka tumpas kepada Juventus dalam satu lagi aksi persahabatan Jelajah Asia di China juga menerusi sepakan penalti.
Bagi PSG, ketiadaan Neymar yang digugurkan daripada jelajah pra musim itu selepas dikaitkan ke Barcelona menyaksikan mereka mengharapkan kepada Kylian Mbappe untuk menghasilkan jaringan.
PSG akan membuka kempen Ligue 1 musim baharu dengan bertemu Rennes untuk aksi Piala Sumbangsih minggu depan. – AFP











