Tiga cedera tong silinder nitrogen kilang meletup - Utusan Malaysia

Tiga cedera tong silinder nitrogen kilang meletup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Dua lelaki dan seorang wanita melecur apabila sebuah tong silinder nitrogen yang sedang dibaiki meletup di sebuah kilang di Kawasan Industri Lukut, Batu 6, Jalan Seremban di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam itu, mangsa, T. Murugan, 44, dan K. Thiruselvam, 46, masing-masing melecur di badan sebanyak 95 dan 70 peratus, manakala mangsa wanita, P. Ralyan, 40, melecur 85 peratus.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd. Hairul Izam Mazelan berkata, pekerja terbabit membaiki tong silinder nitrogen itu menggunakan sistem hidrolik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketiga-tiga mangsa yang berada berdekatan dan sedang membaiki mesin tersebut terkena letupan dan mengalami kecederaan.

“Mereka bukan pekerja kilang itu sebaliknya datang untuk membaiki mesin tersebut. Pekerja kilang yang kebanyakannya warga asing tidak cedera,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mohd. Hairul Izam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.25 malam dan sebuah jentera dengan lapan pegawai serta anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 10.28 malam.

“Apabila sampai, pihak bomba mendapati kebakaran kecil yang berlaku telah dipadamkan oleh pekerja kilang menggunakan dua alat pemadam api,” katanya.

Beliau memberitahu, ketiga-tiga mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan kejadian itu.

“Siasatan mendapati unsur jenayah atau khianat dalam kejadian ini dan hanya bahagian dalam kawasan kilang terbakar, namun dapat dikawal sepenuhnya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini