Malaysia bukanlah sebuah negara yang mengamalkan sistem monarki secara mutlak tetapi mempunyai raja dan Yang di-Pertuan Agong.
Negara mengamalkan Sistem Raja Berperlembagaan. Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja menurut kaedah dan cara yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan peraturan Majlis Raja-Raja.
Raja Permaisuri Agong merupakan isteri kepada Yang di-Pertuan Agong. Ia adalah gelaran rasmi bagi isteri Ketua Negara Malaysia. Gelaran rasmi yang penuh ialah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong apabila ditabalkan.
Memetik buku bertajuk Permaisuri: Raja Permaisuri Agong 1 hingga 14 hasil tulisan Normala Hamzah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd, Raja Permaisuri Agong tidak dipilih tetapi isteri kepada raja atau sultan sesebuah negeri akan menjadi Raja Permaisuri Agong apabila suaminya dipilih untuk memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Lazimnya, Raja Permaisuri Agong mengiringi Yang di-Pertuan Agong dalam acara rasmi dan tidak rasmi serta upacara diraja dan kenegaraan. Raja Permaisuri Agong memainkan peranan sebagai wanita pertama Malaysia dan simbol permata hati rakyat Malaysia.
Khidmat dan sumbangan bakti baginda menjadi Sultanah dan Raja Permaisuri Agong yang kaya dengan sifat peramah, prihatin dan penyayang membuatkan rakyat jelata jatuh hati yang menggambarkan baginda sebagai seorang raja berjiwa rakyat.
Raja Permaisuri Agong adalah ikon wanita Malaysia, sebutir permata indah, cantik dipandang dan dekat di hati.
Kemuliaan Raja Permaisuri Agong yang pertama hingga ke hari ini cukup terkenal dengan sifat penyayang dan sifat murah hati. Baginda merupakan penaung kepada banyak badan kebajikan dan amal.
Pengorbanan dan bakti Raja Permaisuri Agong sebagai ikon penting sistem pemerintahan beraja mengungkap kekuatan wanita dalam keayuannya sebagai Raja Permaisuri Agong tidak berbalas dengan kata-kata malah akan terus kekal dalam ingatan rakyat.
Atas sifat-sifat murni kemesraan, keramahan, prihatin, kasih sayang dan pengorbanan itu, peranan Raja Permaisuri Agong yang sentiasa berdiri teguh di samping Yang di-Pertuan Agong, memupuk semangat rasa taat setia dan kasih sayang rakyat Malaysia yang diumpamakan sebagai sebutir permata yang indah.











