PEMAIN beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying mengakui kejayaannya mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia minggu lalu masih belum mampu untuk memberi kelegaan terhadap dirinya.
Biarpun mencapai sasaran untuk berada dalam kelompok empat beregu terbaik pada kejohanan di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta itu, namun pemain berusia 30 tahun berkenaan jelas masih tidak berpuas hati dengan aksi yang ditampilkannya.
Justeru, dia yang bergandingan dengan Chan Peng Soon sedia menjadikan Kejohanan Terbuka Jepun minggu depan sebagai medan untuk memperkemaskan kembali permainannya selain mengulangi pencapaian yang dilakukan pada Terbuka Indonesia.
“Pencapaian mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia merupakan sesuatu yang sangat bagus, tetapi bagi saya ia masih belum mencukupi kerana kami mahu lebih daripada itu. Saya harap kami boleh tampilkan aksi lebih konsisten pada Terbuka Jepun nanti.
“Pada ketika ini, kami sedang bersaing untuk merebut tempat dalam kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2020, jadi kami perlu bermain lebih baik dalam kejohanan seterusnya kerana inilah peluang kami untuk ke sana nanti (Olimpik),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Peng Soon-Liu Ying yang merupakan pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik 2016, berdepan tugas sukar apabila perlu bersaing dengan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai bagi mendapatkan slot ke temasya empat tahun sekali itu.
Berdasarkan kedudukan ranking semasa yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Peng Soon-Liu Ying berada dalam landasan terbaik untuk ke Sukan Olimpik apabila menghuni ranking kelima, sementara pencabar terdekat, Soon Huat-Shevon di kedudukan ke-11.
Mengikut peraturan kelayakan ke Sukan Olimpik yang ditetapkan BWF, setiap negara boleh menghantar dua wakil dalam acara beregu sekiranya menghuni kelompok lapan terbaik dunia, sementara satu beregu sahaja dibenarkan jika berada pada kedudukan sembilan ke atas.











