NAMA Joaquin Archivaldo Guzman Loera mungkin kedengaran asing dalam kalangan masyarakat dunia, namun apabila menyebut ‘El Chapo’, rata-ratanya akan mengaitkan nama itu dengan kegiatan kartel dadah Mexico dan sindiket jenayah lain.
Guzman mendapat gelaran El Chapo yang membawa maksud ‘pendek’, kerana ketinggiannya hanya 168 sentimeter.
Lelaki pendek itu dilahirkan pada 4 April 1957 di Sinaloa, Mexico dan dibesarkan dalam keadaan miskin serta sering menjadi mangsa penderaan bapanya yang merupakan seorang petani.
Melalui bapanya juga, Guzman mula berjinak-jinak dalam dunia pengedaran dadah dengan membantu lelaki itu menanam pokok ganja untuk golongan pengedar tempatan.
Menjelang akhir 1970-an, Guzman mula bekerja dengan Hector Luis Palma Salazar iaitu seorang ‘tokey dadah’ terbesar di Mexico.
Ketika berkhidmat dengan Palma, Guzman membantunya menghasilkan peta laluan untuk menyeludup bekalan dadah dari Sinaloa ke Amerika Syarikat (AS) sebelum ‘bertugas’ pula dengan seorang lagi mafia dadah, Miguel Angel Felix Gallardo.
Namun, Felix ditahan polis pada pertengahan 1980-an dan Guzman memulakan kartelnya sendiri.
Selain El Chapo, Guzman juga digelar sebagai ‘El Rapido’ atau ‘si laju’ dan sebagai ketua Kartel Sinaloa, dia mengawal sebahagian besar pengeluaran dadah jenis kokain, methamphetamine, ganja dan heroin untuk diseludup ke AS dan Eropah.
Kelicikan El Chapo menjalankan operasi penyeludupan dan pengedaran dadah sememangnya diperakui pihak berkuasa kerana lelaki itu bijak menggunakan teknik logistik untuk kegiatannya.
Guzman sering menjadikan sel-sel penjara dan terowong berjarak panjang sebagai hab utama pengedaran dan penyeludupan bekalan dadah ke luar Mexico.
Terowong panjang berhampiran kawasan sempadan membolehkan geng kartel El Chapo menyeludup lebih banyak dadah ke AS berbanding kumpulan pengedar dadah yang lain.
‘Perniagaan dadah’ yang dijalankan Guzman ternyata memberinya pelbagai faedah terutamanya kemewahan dan kuasa sehingga dia disenaraikan oleh majalah Forbes sebagai seorang daripada individu paling berkuasa di dunia antara tahun 2009 hingga 2013.
Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) pula menyamakan pengaruh serta kekayaan Guzman hampir menyamai raja dadah terkenal dunia, Pablo Escobar.
Kegemilangan Guzman mula merudum apabila dia ditahan buat pertama kali pada 1993 di Guatemala dan diekstradisi serta dihukum penjara selama 20 tahun di Mexico atas kesalahan membunuh dan pengedaran dadah.
Namun, El Chapo enggan mengalah apabila bertindak merasuah pengawal penjara dan terlepas hukuman penjara kawalan penuh pada 2001.
Sejak itu, Guzman hidup sebagai pelarian dan pihak berkuasa Mexico serta AS menawarkan jumlah ganjaran sehingga AS$8.8 juta (RM36.2 juta) bagi sebarang maklumat atau sumber yang boleh membuatnya ditangkap untuk diadili oleh undang-undang.
Tidak lama selepas itu, Guzman ditangkap di Mexico pada 2014, namun sekali lagi berjaya melepaskan diri setahun kemudian menerusi terowong sepanjang 1.5 kilometer yang ‘dibina’ dan dikorek di bawah sel penjara.
El Chapo kemudiannya ditahan semula pihak berkuasa Mexico pada 2016 dan diekstradisi ke AS setahun kemudian.
Guzman didapati bersalah melakukan beberapa kesalahan jenayah berhubung kartel dadah dan pada 17 Julai lalu, dia dihukum penjara seumur hidup.
Mahkamah Persekutuan di New York pada Februari lalu memutuskan El Chapo yang ketika ini berusia 62 tahun didapati bersalah atas 10 pendakwaan termasuk penyeludupan dadah dan penyelewengan.
Pasukan pendakwa raya memberi jaminan bahawa Guzman akan menjalani hukuman di sebuah penjara yang mempunyai kawalan keselamatan berteknologi tinggi di Colorado.











