JAKARTA 21 Julai – Menteri Perikanan dan Hal Ehwal Maritim Indonesia, Susi Pudjiastuti memberi amaran lebih banyak plastik akan ‘mendiami’ perairan negara ini berbanding ikan menjelang 2030.
Lapor Jakarta Post, Susi berkata, masalah itu bakal berlaku sekiranya negara ini tidak mengambil sebarang tindakan untuk menangani masalah sampah sarap di lautan.
Beliau turut memberi amaran akan ‘menenggelamkan’ pihak yang bertindak membuang sampah plastik ke kawasan laut.
“Pencuri ikan (bot nelayan asing) kita tenggelamkan. Sekarang pencuri ikan sudah pergi, datang pula plastik. Nanti, pembuang sampah plastik ke lautan pula kita tenggelamkan.
“Ini adalah sebab kita perlu menghentikan penggunaan beg plastik atau botol. Tentunya kita tidak mahu menangkap plastik dari lautan,” katanya ketika lawatan ke daerah Anambas, Kepulauan Riau.
Tambah Susi, beliau berasa malu dengan fakta bahawa Indonesia merupakan penyumbang sampah sarap di lautan yang kedua terbesar dunia selepas China.
Beliau menggesa semua rakyat agar berhenti menggunakan plastik kerana akan mencemarkan alam sekitar.
“Bermula hari ini, tolong, jangan menjadi bangsa yang menyumbang kepada pencemaran,” tegasnya.
Jelas Susi, lautan cantik, hutan yang menghijau dan udara nyaman merupakan satu anugerah serta tiada siapa boleh merosakkannya.
“Kerajaan mempunyai tugas yang serius dalam memastikan kawasan laut khususnya di Kepulauan Riau bebas daripada sampah sarap. Jika kita tidak menjaganya, pulau kita yang cantik ini akan dikalahkan oleh negara lain,” katanya.











