CARACAS 21 Julai – Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif menyifatkan kehadiran Amerika Syarikat (AS) di peringkat global khususnya di rantau Teluk sebagai punca ‘keselamatan terancam dan mencetuskan ketidakstabilan’.
Bercakap di Caracas, Venezuela, Mohammad Javad berkata, beliau ‘tidak mengetahui kehadiran AS di mana-mana tempat di dunia ini telah menyumbang kepada kestabilan’.
“AS menyebabkan keselamatan tergugat dan ketidakstabilan di mana sahaja mereka jejakkan kaki. Hari ini, kehadiran AS telah menjadikan keselamatan terancam di Teluk Parsi, Asia Barat, Latin dan Amerika Selatan.

“Ke mana sahaja mereka pergi, mereka telah menyumbang kepada peningkatan tekanan terhadap populasi dan meningkatkan ekstremisme serta keganasan,” katanya sebaik sahaja tiba di Venezuela.
Lapor Press TV, Mohammad Javad memberitahu, kehadiran AS di Asia Barat terutamanya di Teluk Parsi telah mengakibatkan tekanan memuncak di rantau terbabit.
Seminggu selepas AS mengumumkan penghantaran lebih ramai tentera ke Teluk Parsi pada awal Mei lalu, empat kapal tangki minyak disabotaj di perairan Fujairah di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pada awal Jun lalu, dua lagi kapal tangki minyak musnah akibat letupan di Teluk Oman.
Minggu lalu, Iran menembak jatuh dron pengintip AS yang bernilai berjuta dolar selepas menceroboh ruang udara negara itu.
Khamis lalu, Presiden AS, Donald Trump mendakwa dron Iran ditembak jatuh selepas terbang dalam lingkungan 900 meter dari kapal Tentera Laut AS.
Bercakap kepada majalah American New Yorker di New York awal minggu ini, Mohammad Javad menekankan mengenai provokasi terbaharu AS dan berikrar Iran akan ‘selalu bertindak balas’ selain memberi amaran kepada Washington agar ‘tidak bermain-main’ dengan Teheran.
“Kamu mungkin memulakan perang tetapi kamu tidak akan mengakhiri perang itu. Kami akan selamat, kami akan hidup dengan bahagia dalam tempoh yang lama selepas Donald Trump (Presiden AS) sudah tiada,” tegasnya.
Dalam perkembangan berlainan, Britain menggesa Iran agar meredakan ketegangan di rantau Teluk dengan membebaskan kapalnya yang didakwa dirampas di Selat Hormuz kelmarin.
Selain itu, Jerman dan Perancis turut menggesa Iran untuk membebaskan kapal terbabit, dengan Berlin menyifatkan insiden tersebut sebagai ‘keadaan yang berbahaya’.
Kesatuan Eropah (EU) juga melahirkan ‘kebimbangan mendalam’ terhadap situasi terbabit.
Kapal berkenaan, Stena Impero dilaporkan membawa 23 anak kapal terdiri daripada 18 warga India, Rusia (tiga orang) dan masing-masing seorang rakyat Filipina serta Latvia, yang menuju ke Arab Saudi.
Kapal tangki tersebut dikatakan berlanggar dengan sebuah kapal nelayan dan Iran sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.
Dalam pada itu, Iran menyatakan tempoh siasatan berhubung kapal berkenaan bergantung kepada kerjasama yang diberikan oleh anak kapal.
“Kesemua mereka dalam keadaan baik. Mereka semua berada dalam kapal dan kapal itu dibawa ke tempat selamat,” kata Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan wilayah Hormozgan, Allah-Morad Afifipoor. – AFP/AGENSI











