KUALA SELANGOR – Sikap tamak empat nelayan warga Indonesia menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan membawa padah apabila diberkas menerusi Ops Pintasan di perairan laut Kuala Selangor, semalam.
Kesemua suspek berusia 37 hingga 43 tahun ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) pukul 10 pagi.
Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bot tersebut dikesan dalam keadaan mencurigakan dengan didapati menunda ikan menggunakan saiz mata pukat bahagian keroncang kurang dari 38 milimeter ukuran tegang.
Katanya, pemeriksaan turut mendapati bot kelas B tersebut telah melanggar syarat sah lesen perikanan.
“Hasil pemeriksaan keempat-empat nelayan termasuk tekong itu didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.
“Kita merampas kira-kira 100 kilogram ikan pelbagai jenis selain pukat, tali tunda, papan tunda dan bot tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rosman menjelaskan kesemua suspek termasuk barangan rampasan dibawa ke Jeti Jabatan Perikanan Kuala Selangor untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. -K! ONLINE











